Sunday 25 August 2013

AES Kegagalan Kerajaan


Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong mengecam kerajaan kerana tidak menjalankan penilaian serta penyelidikan yang teliti sebelum melaksanakan Automated Enforcement System (AES).

Teo berkata bahawa keputusan pihak kerajaan untuk menilai semula pelaksanaan dan pengurusan AES telah menunjukkan bahawa pihak kerajaan tidak menjalankan penilaian serta penyelidikan yang teliti sebelum melaksanakan sistem AES.

“Kalau pihak kerajaan bercadang untuk mengambil-alih pengurusan AES daripada syarikat konsesi, saya mengalu-alukan keputusan tersebut.

“Tetapi persoalan yang timbul sekarang ialah mengapakah pihak kerajaan tidak mengkaji secara mendalam dan teliti sebelum melaksanakan sistem penguatkuasaan (AES) ini?

“Sekarang pula pihak kerajaan kata sebab mendapat banyak rungutan daripada rakyat, mereka mahu menilai semula pengurusannya.

Pada hal, Pakatan Rakyat serta ramai rakyat Malaysia telah membantah sejak awal pelaksanaan AES lagi, tetapi pihak kerajaan tetap berkeras meneruskan pelaksanaan projek tersebut.

“Kita sedia maklum, cuma dua syarikat konsesi diberi kontrak untuk melaksanakan sistem AES.

“Kalau kini pihak kerajaan ingin mengambil alih pengurusan sistem AES ini, saya pasti pihak kerajaan sudah tentu akan membayar pampasan kepada dua syarikat konsesi tersebut.

“Jadi, syarikat konsesi ini tetap akan mendapat keuntungan tak kira apa jua keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan,” kata Teo.

Teo yang juga Ahli Parlimen Rasah menjelaskan pada Persidangan Dewan Rakyat bulan Julai yang lepas, beliau pernah bertanya mengenai berapakah jumlah saman yang dikeluarkan oleh AES dan jumlah kutipan saman AES yang diperolehi sejak ia dilaksanakan.

Jawapan yang beliau perolehi adalah seperti berikut:-

Sehingga 11 Jun 2013, sebanyak 673,339 saman bagi kesalahan AES telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan sejak AES mula dikuatkuasakan pada 23 September 2012.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 66,735 saman telah dibayar dengan jumlah kutipan sebanyak RM20,020,500.

“Kami tiada sebarang halangan jika pihak kerajaan berusaha untuk mengambil langkah untuk mendidik pengguna jalan dan mengurangkan kes kemalangan jalanraya.

“Tetapi, jikalau langkah penguatkuasaan yang cuma menguntungkan syarikat konsesi, ia tidak akan diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Pihak kerajaan sebenarnya harus mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyelesaikan isu AES ini agar ia tidak menyulitkan serta membebankan rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment